Wednesday, July 15, 2009

Ada apa dengan kaunseling.


Kelmarin saya berkesempatan menyertai bengkel kes kaunseling yang dikendalikan oleh Pusat Kaunseling MAINS, Seremban. Penyertaan ke bengkel tu pun secara tak sengaja dijemput oleh En. Norazman, Ketua Eksekutif Kaunselor di situ. Saya call dia sebab nak berbincang mengenai kaunseling perkahwinan di Malaysia. Jadi, alang-alang dia jemput saya join la.

Kali pertama ke Seremban dengan memandu sendiri. Risau sesat. Malam tu saya dah call adik awal2 tanya tempat bengkel dan dia pesan datang awal sebab kat Seremban selalu jem. Saya pun sesat jugak mencari dewan bengkel tu tapi takde la sesat yang lama.

Ini kali pertama saya pergi bengkel secara perseorangan. Biasanya pergi dengan kawan dan atas nama fakulti. So, selesai mendaftar saya masuk dewan. Mata saya melilau mencari tempat dan orang yang duduk sorang2. Bukan apa nak cari kawan untuk bertukar2 fikiran. Saya pun mendapatkan meja kedua dari depan. Ada seorang akak ni duduk sorang kat situ.

Dah duduk sambil membelek beg bengkel yang berisi buku program, kertas kerja, alat tulis dan juga pamplet2 Pusat Kaunseling MAINS. Tetiba akak kat sebelah tu bersuara;

"Akak tak percaya dengan kaunseling ni. Mengarut je.."
Saya senyum memandang dia.
"Akak dulu pernah la jumpa kaunselor. Kita ni memang dah ada masalah, fikiran serabut. Sampai kat dia boleh dia suruh akak bercerita tentang masalah akak. pastu dia senyap je. dia kata dia nak dengar cerita akak. Akak ni datang kat dia nak minta pendapat dia nak selesaikan masalah, dia pulak suruh kita bercerita" ujar akak tu.
Saya bertanya pada akak tu.
"Akak rasa kaunselor tu tau ke apa masalah akak?"
"Mana la akak tau. Kita nak dia faham la yang kita ni perlu bantuan dia".
"Walaupun kaunselor ni boleh bantu orang menyelesaikan masalah tapi selagi klien tu tak cerita apa masalah dia, kaunselor tak tau. Kaunselor ni bukan macam ahli nujum. Tengok muka orang dah tau apa masalahnya" ujar saya.

Pastu akak tu mengomen lagi ketidakpuasan dia pasal kaunseling.
"Anak akak pun tak percaya pasal kaunseling-kaunseling ni. Dia kat sekolah dah berapa kali kena panggil dengan guru kaunseling. Ayatnya mesti sama. Sampaikan anak akak pun dah boleh hafal ayat tu"

Itulah salah satu senario yang saya pernah lalui mengenai pandangan masyarakat mengenai kaunseling. Dulu masa buat internship kat hospital bila tanye patient pernah pergi buat sesi kaunseling? pernah jumpa kaunselor? Ada yang jawab, "apa tu kaunseling?" Tak pernah dengar pun.

Hari ini masyarakat terutamanya masyarakat Melayu masih lagi kurang mendapatkan perkhidmatan kaunseling. Sebagai contoh paling dekat kaunseling perkahwinan. Kalau ada timbul masalah, konflik suami isteri lebih suka bercerita masalah mereka kepada kawan atau keluarga. Amat jarang pergi berjumpa dengan kaunselor. Ada juga yang berniat mahu berjumpa kaunselor tapi memikirkan pandangan masyarakat bahawa pergi jumpa kaunselor ni orang yang bermasalah, memalukan nak cerita hal sensitif dalam rumahtangga pada orang asing. Ini adalah stigma masyarakat terhadap kaunseling perkahwinan.

Lantaran itu, ramailah yang menyalurkan masalah mereka bukan pada tempatnya seperti rakan2. Tak salah berbincang dengan rakan tapi biarlah kena dengan orangnya. Hari ini banyak kes suami orang bercinta dengan isteri orang. Gara-gara asalnya hanyalah sekadar teman bercerita dan meluahkan masalah. Alasannya hanya orang lelaki boleh memahami masalah lelaki. Maka hasil pertemuan dan perbincangan tersebut membuka ruang kepada gejala-gejala lain yang mungkin akan timbul seperti rasa suka pada rakan tersebut, rasa disayangi dan sebagainya.

Makanya, apa yang membezakan antara kaunseling dengan perbincangan rakan2 adalah kaunseling itu adalah satu proses membantu yang sistematik iaitu proses memahami persekitaran diri, penerokaan isu yang dihadapi oleh klien, mengenalpasti isu yang membebankan,matlamat klien yang diharapkan melalui sesi kaunseling tersebut, alternatif yang boleh diambil untuk menyelesaikan isu. Di sinilah hanya kaunselor yang terlatih, berkemahiran dan berpengetahuan dapat membantu kliennya menyelesaikan masalah yang dihadapi. Semuanya berlaku atas dasar profesional dan etika seorang kaunselor. Dan tentunya untuk menjadi seorang kaunselor yang mahir memerlukan pengetahuan, pengalaman dan praktikal kemahiran yang berterusan.

0 comments:

Post a Comment