Thursday, August 20, 2009

Pembelajaran sepanjang hayat.

Hidup kita seawal usia dapat mengenal A, B, C, alif, ba, ta, satu, dua, tiga maka bermulalah proses pembelajaran dalam hidup kita. Satu proses demi satu proses pembelajaran berlaku dalam setiap tahap perkembangan kehidupan seorang insan. Si ibu yang mengajar bayinya menyebut “ma…” si bayi menyebut “pa..”. Kemudian belajar bertatih, merangkak, berlari dan terus membesar menjadi seorang remaja dan dewasa. Perkembangan tahap kehidupan memberi ruang dan peluang untuk kita mencari dan menuntut ilmu. Pendidikan formal mula mengambil alih proses pendidikan dan pembelajaran. Awal usia lima tahun anak dihantar ke taman asuhan supaya belajar menyesuaikan diri dengan suasana luar. Menginjak ke usia tujuh hingga dua belas tahun pendidikan peringkat rendah membawa kanak-kanak meneroka alam kehidupan yang lebih bermakna. Meniti usia remaja pendidikan peringkat menengah memerlukan anak remaja lebih pemahaman serta pengalaman untuk membina ketahanan fizikal, mental, jiwa dan rohani. Namun, proses pembelajaran tetap diteruskan. Hinggalah meniti usia dewasa. Menempuh alam kedewasaan memberi lebih banyak peluang untuk kita mencari dan menimba ilmu pengetahuan.

Sepanjang perjalanan kehidupan kita ini, pendidikan berlangsung samada secara formal dan tidak formal. Secara formalnya kita belajar di institusi2 pendidikan manakala secara tidak formalnya kita belajar daripada pengalaman dan penelitian kita dalam kehidupan. Namun begitu, pendidikan dan pembelajaran orang dewasa berbeza dengan pendidikan remaja dan kanak-kanak. Orang dewasa melihat peranan pendidikan berdasarkan perspektif diri sendiri. Mereka melalui proses pembelajaran bersesuaian dengan pengalaman yang telah mereka lalui. Pembelajaran orang dewasa bermatlamatkan untuk memperbaiki kehidupan dengan mempertingkat kemahiran diri dalam pekerjaan, keluarga dan masyarakat.

Menjurus kepada konteks yang lebih kecil dan khusus sebagai contoh perhubungan dalam perkahwinan tidak keterlaluan saya mengatakan bahawa adalah perlu bagi si suami dan isteri berusaha mempelajari ilmu demi untuk memperbaiki perhubungan mereka. Tidak kiralah ilmu tersebut formal atau tidak formal. Saya gerun melihat statistik perceraian yang sentiasa meningkat setiap tahun. Bukan kemahuan kita untuk melihat rumahtangga yang dibina musnah, namun semestinya ada jalan penyelesaian untuk mengatasi perkara ini. Bukankah setiap pasangan Muslim sebelum berkahwin diwajibkan menghadiri kursus praperkahwinan maka disitu sudah ada satu usaha untuk memberi ilmu pengetahuan mengenai alam rumahtangga. Namun, jika diteliti dengan mendalam, usaha tersebut tidak seharusnya terhenti setakat itu. Perlu ada satu kesinambungan untuk memperkukuhkannya lagi.

Seorang teman yang baru mendirikan rumahtangga pernah menyatakan perhubungan perkahwinan ini perlu diservis..

"Diservis??"
"Iye..Macam kita servis kereta tiap-tiap bulan. Bayangkan kalau kita tak servis kereta kita. Apa akan jadi? Nak stat pun susah kan..macam tu la perkahwinan. Tak dapat diserviskan tiap2 bulan, annually pun ok jugak.."


Marital enrichment adalah satu usaha bagi suami dan isteri memperbaiki diri dan seterusnya dapat mempertingkatkan kemahiran dalam mengendalikan hubungan dalam perkahwinan. Bukankah ini juga satu cabang ilmu yang harus diambil perhatian dan menuntut ilmu itu bukan terhenti selepas habisnya pengajian kita di institusi pendidikan dan ianya berterusan sepanjang hayat kita. Malah wahyu pertama yang diturunkan kepada nabi Muhammad s.a.w di dalam surah al-‘alaq adalah berupa satu suruhan supaya baginda membaca walaupun baginda seorang yang buta huruf (ummiyy) dan sudah berusia 40 tahun pada masa tersebut.

Adalah penting pada peringkat usia ini seseorang memperbanyakkan ilmu, pembacaan dan pengetahuan dengan tujuan mempertingkatkan ilmu-ilmu yang berkait rapat dengan kekeluargaan, kemasyarakatan, kepimpinan dan juga ilmu-ilmu yang berkaitan denagn hubungan sesama manusia serta hubungan kita dengan Al-khaliq kita.

Wallahu'alam.

0 comments:

Post a Comment