Saturday, August 15, 2009

Sunat meletakkan sutrah di hadapan ketika solat

Sutrah ialah sesuatu yang diletakkan di hadapan ketika menunaikan solat. Ia boleh dianggap penghadang atau penghalang bagi memisahkan di antara orang yang menunaikan solat dengan orang yang melalui di hadapan orang yang sedang solat. Tiada ketetapan bahan tertentu untuk dijadikan sutrah. oleh itu sekiranya terdapat tongkat, kayu, beg atau apa sahaja, ia hendaklah diletakkan di hadapan sedikit daripada tempat sujud. Sekiranya tiada bahan boleh digunakan, maka bolehlah dibuat garisan terutamanya apabila berada di tempat yang lapang seperti di padang bola atau di padang pasir.



Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud, Ibnu Majah dan Ahmad telah dinyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. menganjurkan kepada setiap individu yang menunaikan solat agar meletakkan sutrah, walaupun dengan anak panah atau tongkat. Sekiranya tiada bahan untuk dijadikan sutrah maka hendaklah dibuat satu garisan. Disamping itu, diharuskan juga menjadikan tiang-tiang masjid sebagai sutrah ketika menunaikan solat secara sendirian. Hukum meletakkan sutrah ini adalah sunat dan ia bertujuan untuk meningkatkan khusyuk dalam solat dengan tidak diganggu oleh orang yang melintas dihadapan.



Diriwayatkan daripada Sayyidina Sahal r.a. bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda, "Jika salah seorang di antara kamu melakukan solat menghadap ke sutrah (tabir atau penghalang), maka hendaklah mendekatinya..". Difahami daripada hadis ini bahawa sutrah hendaklah diletakkan tidak terlalu jauh daripada tempat sujud orang yang menunaikan solat. Diriwayatkan daripada Nafi' bahawa setiap kali 'Abdullah bin 'Umar r.a. memasuki Ka'abah, beliau akan terus berjalan sehinggalah jarak antaranya dan dinding yang ada dihadapannya itu lebih kurang tiga hasta, lalu ia melakukan solat. Oleh yang demikian, ia menunjukkan kepada kita bahawa sutrah yang diletakkan di hadapan ketika solat tidaklah jauh dari tempat sujud.

oleh: Mohd. Sukki Othman, Millenia Muslim, Januari 2008.

(sumber gambar: http://www.mohdzulhelmi.com/2008/10/sutrah-ketika-solat-tahukah-anda.html)

0 comments:

Post a Comment